Tidak kejar glamour melalui politik

PERMATANG PAUH : Ustaz Kazim Elias yang dilarang mengadakan ceramah di masjid dan surau atas alasan tidak ada tauliah di Pulau Pinang muncul di Pentas Anak Muda anjuran UMNO Permatang Pauh malam tadi.

Kazim berkata kehadirannya bukan untuk ceramah atau kuliah agama tetapi ceramah berkaitan termasuk motivasi serta diselang seli dengan konsert nasyid serta selawat sebagai menghormati pihak berkuasa agama negeri.

“Kalau nak saya ceramah macam dulu kena pangkah …(merujuk kepada calon BN P044 Datuk Mohd Zaidi Mohd Said,” katanya pada majlis itu.

Beliau juga mengingatkan orang ramai, walaupun dalam kalangan mereka berbeza ideologi politik dan sebagainya tetapi jangan sampai memutuskan silaturahim sebaliknya tetap bersaudara, seagama dan sebangsa.

“Jika tidak seagama pun, kita berkongsi negeri, berkongsi negara duduk dalam sebuah negeri dan negara berkongsi tanah dan udara, marilah hidup tanpa perkauman, menggalakkan kasih sayang, hormat menghormati,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bagaimana ‘terjebak’ menjadi calon Parlimen Larut mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti diumumkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

Katanya, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan pada PRU ini, mereka yang tidak terlibat politik UMNO akan diberi peluang berdasarkan pengalaman dan kepakaran individu berkenaan termasuk beliau sebagai penceramah bebas.

Menurutnya, Ahmad Zahid mahu beliau menterjemahkan pengalaman termasuk semasa ceramah untuk merubah, menolong, membantu, merombak dan melakukan sesuatu yang terbaik untuk negara.

Presiden UMNO memberitahunya, ustaz buat apa yang terbaik, bawa agenda orang ramai sama ada yang menjadi ahli parti, bukan ahli, atas pagar supaya hasil ceramah lebih 30 tahun dijadikan agenda yang akan disokong kerajaan.

“Saya bukan nak cari glamour,” katanya sambil menceritakan bagaimana ketika di dalam tandas di R&R lebuh raya, pintu tandasnya diketuk  berkali-kali tetapi akhirnya  apabila dibuka individu berkata “ nak ambil gambar”

“Kalau ada yang kata saya nak masuk politik (bertanding PRU),untuk cari glamour, minta maaf, hidup saya dah cukup glamour, bukan masa lagi untuk galmour, ada yang kata nak cari duit, saya tak miskin untuk  jadi orang politik,” katanya.

Dalam perbincangan dengan Ahmad Zahid juga, Ustaz Kazim menyenaraikan program yang dalam pemikirannya untuk dilakukan dan Presiden UMNO itu bersifat pemikiran terbuka dan bersetuju dengan cadangan yang diutarakan.

Bagaimanapun disebabkan abangnya turut menandatangani watikah untuk menjadi calon (DUN) parti lain di kawasan yang sama (Larut) beliau mengambil keputusan menarik diri bagi mematuhi pesanan ibunya supaya tidak bertanding adik beradik.

“Saya menghormati abang saya dan lebih besar daripada itu, saya menghormati wasiat arwah ibu saya supaya tidak timbul perselisihan, pertikaian dan sebagainya.

“Jika saya nak buat jahat, habis Barisan Nasional pada hari penamaan calon jika saya tak datang tetapi saya menjaga kebaikan BN , begitu harapan saya kepada  seluruh rakyat Malaysia supaya dalam keadaan tertentu perlu muafakat ,” katanya.

Related posts

Leave a Comment