Calon PH Padang Serai meninggal dunia

KUALA LUMPUR 16 Nov. –  Calon Pakatan Harapan (PH) bagi P.017 Padang Serai Karupaiya A/L Mutusami, yang juga penyandang kawasan itu meninggal dunia hari ini.

Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail berkata, mendiang merupakan bekas Pegawai Waran 1, Angkatan Tentera Malaysia dan Ketua Cabang Keadilan Padang Serai.

“Kali terakhir kami bertemu adalah pada 14 November lalu, di atas pentas ceramah di Kulim. Mendiang telah memberi ucapan ringkas dan sempat bersama menjulang tangan di akhir ucapan Pengerusi Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin mewakili seluruh keluarga besar Keadilan dan PH, merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang.

“Pemergian mendiang satu kehilangan besar kepada parti. Jasa mendiang di Parlimen, kepada warga serta Cabang Padang Serai, dan juga kepada Angkatan Tentera Malaysia terutama para veteran akan senantiasa dikenang,” katanya.

Sementara itu,  Timbalan Pengerusi PH Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, Karupaiya dimasukkan ke Hospital Kulim beberapa hari lepas akibat muntah dan penat.

Mendiang bagaimanapun tetap hadir ketika Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun berkempen di Kulim dan Padang Serai pada 14 November lalu.

Tambahnya, Karupaiya kemudiannya beredar meninggalkan majlis tetapi tiba-tiba rebah dan dibawa ke hospital.

Pada PRU14, Karupaiya memperoleh 31,724 undi mengatasi calon Pas, Muhamad Sobri Osman yang mendapat 22,911 undi dan Datuk Dr. Leong Yong Kong daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 15,449 undi.

Selain Karupaiya yang dinamakan PH untuk mempertahan kerusi Padang Serai, lima lagi calon yang mahu merebut kerusi di situ adalah Hamzah Abd Rahman mewakili Pejuang; Datuk C. Sivaraj (BN); Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional); Mohd. Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Related posts

Leave a Comment