DAP yakin keupayaan calon Melayu

PADANG BESAR 16 Nov. – DAP yakin calon Melayu yang ditampilkan parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini dapat diterima masyarakat secara keseluruhan, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata tiada masalah bagi parti itu meletakkan calon berbangsa Melayu bertanding di kawasan yang dijangka mampu memberikan kemenangan kepada kepada Pakatan Harapan (PH) secara kolektif.

“DAP meletakkan calon Melayu di kawasan yang boleh menang meskipun ada calon yang mungkin berdepan tugas sukar untuk membawa kemenangan.

“Sebenarnya, kawasan yang ditandingi DAP adalah kawasan calon kita penyandang di situ atau kawasan yang boleh dimenangi, contohnya di Parlimen Bentong, Bangi dan Bukit Bendera yang kita letakkan calon Melayu bagi kerusi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah politik di Bilik Gerakan PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, Pejabat DAP Perlis di Pekan Padang Besar, di sini.

Untuk rekod, DAP menampilkan 13 calon Melayu bertanding kerusi Parlimen dan DUN di seluruh Semenanjung.

Dan tiga kawasan boleh menang yang diletakkan calon Melayu adalah Bentong iaitu Young Syefura Othman menggantikan Wong Tuck; Syahredzan Johan (Bangi) menggantikan Ong Kian Ming dan Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid menggantikan Wong Hon Wai.

Loke yang juga Timbalan Pengerusi PH yakin masyarakat pengundi Melayu bukan melihat calon itu sebagai calon DAP sebaliknya calon PH secara keseluruhannya.

Ini kerana kempen yang dilakukan juga adalah kempen bersepadu dan tiada kempen DAP atau Amanah atau PKR, sebaliknya semuanya adalah kempen PH dengan satu lambang, satu mesej dan satu calon Perdana Menteri iaitu Anwar Ibrahim.

Related posts

Leave a Comment