Pengundian Padang Serai perlu tarikh baharu

PUTRAJAYA 16 Nov. – Proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai, Kedah perlu dilaksanakan pada suatu tarikh baharu yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya hari ini.

Ini kerana, SPR perlu membatalkan notis pengundian itu, selain menyiarkan warta tarikh baharu bagi pilihan raya berkenaan.

Semua urusan mengenainya perlu dijalankan semula dengan tidak perlu penamaan baharu bagi calon yang layak serta sah dinamakan pada masa pengundian itu dibatalkan.

Ia susulan ketetapan mengikut Fasal 11 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang memperincikan perihal membabitkan calon yang dinamakan mati atau hilang kelayakan daripada menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum pengundian dimulakan.

Fasal sama turut menyentuh perkara sama bagi apa-apa sebab pengundian tidak dapat diadakan atau sudah tidak diadakan pada hari pengundian awal atau hari pengundian, mengikut mana-mana yang berkenaan seperti dinyatakan dalam writ dikeluarkan kepada pegawai pengurus mengikut subperaturan 3(1).

Di bawah peraturan itu, berikutan kematian calon sebelum pengundian, pegawai pengurus pilihan raya “hendaklah … memaklumkan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya … di sebalik writ” untuk pengundian asal.

“Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah membatalkan notis bagi pengundian itu, dan hendaklah menetapkan melalui notis yang disiarkan dalam Warta suatu tarikh baharu bagi pilihan raya itu dan dalam hal demikian semua urusan mengenai pilihan raya itu hendaklah dijalankan semula, dengan syarat bahawa penamaan yang baharu tidak perlu dalam hal seseorang calon yang layak yang sah dinamakan pada masa pengundian itu dibatalkan,” menurut fasal 11(6).

Related posts

Leave a Comment