Ketua Pemuda Pas Sik mohon rehat

ALOR SETAR 14 Nov. – Ketua Pemuda Pas Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir memohon untuk berehat daripada jawatan itu berikutan tular video ceramah hukum undi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

Permohonan berehat daripada semua jawatan dalam parti untuk tempoh yang akan dimaklumkan kelak itu dibuat menerusi sepucuk surat kepada Setiausaha Pas Kawasan Sik bertarikh 11 November lalu.

Beliau, berkata permohonan yang dibuat itu adalah secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak dan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

“Ucapan di dalam video itu adalah ucapan saya sendiri dan bukan mewakili PAS khususnya Perikatan Nasional (PN) amnya. Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak sama ada di dalam PAS mahupun PN yang terkesan dan tersinggung akan ucapan saya itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, yang juga Menteri Besar Kedah,  Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan mengenai permohonan Mohd Shahiful berkenaan.

Video berdurasi 28 saat itu menerima kritikan daripada pelbagai pihak dan pada 11 November, Mohd Shahrul dalam satu kenyataan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu ‘undi BN dan PH masuk neraka’.

Permohonan maaf itu dibuat melalui satu video disiarkan di Facebook Pemuda Pas Sik dan beliau turut memohon dihentikan segala bentuk sebaran video itu.

Related posts

Leave a Comment