Isu PM : Tohmahan lawan kelirukan pengundi

BERA 14 Nov. –  Tiada modal politik. Itu reaksi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung tohmahan kononnya Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal diangkat sebagai perdana menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, parti lawan terpaksa mengitar tohmahan seumpama itu yang bertujuan mengelirukan pengundi walaupun mereka tahu beliau satu-satunya pemimpin yang diisytiharkan sebagai calon perdana menteri oleh UMNO dan BN.

Ismail yang juga Naib Presiden UMNO, berkata tohmahan itu juga bertujuan memecahbelah kepemimpinan UMNO dan BN tetapi akhirnya mendedahkan pembangkang ketandusan isu.

“Mereka cuba menimbulkan kekeliruan (dalam kalangan pengundi) dan tentu juga mereka mahu supaya kepemimpinan BN dan UMNO berpecah. Mereka nampak tak ada isu lain yang boleh mereka gunakan. Hanya menggunakan isu PM ini,” kata Ismail dalam temu bual bersama Free Malaysia Today.

Beliau turut menyifatkan dakyah yang disebarkan itu sebagai cara tidak beretika untuk menjejaskan sokongan pengundi terhadap BN.

“Mereka (parti lawan) cuba menggambarkan (kemungkinan) saya tak menjadi PM (supaya) menurunkan sokongan kepada BN. Mereka mungkin takut saya (sebagai) calon PM. Saya anggap…ia boleh menjadi satu kekuatan untuk saya untuk menarik pengundi (kepada) BN,” tambah beliau.

Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mendakwa Zahid selaku Presiden UMNO dan pengerusi BN mengintai jawatan tertinggi negara meskipun Ismail diumumkan sebagai ‘poster boy’ BN dan calon PM PRU15.

Pemimpin PH memberi amaran bahawa ‘satu undi kepada BN bersamaan satu undi untuk Zahid menjadi perdana menteri’ manakala pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut melontar dakwaan serupa.

Zahid tegas menafikan dakwaan itu namun ia terus diuar-uarkan pembangkang yang ghairah menjadikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sasaran utama dalam kempen mereka, kerana kes mahkamahnya berkaitan penyelewengan dana.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera kesal cubaan pembangkang menidakkan keputusan di pelbagai peringkat dalam UMNO dan BN berhubung calon perdana menteri.

Beliau berkata, keputusan mencalonkannya sebagai perdana menteri oleh BN telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Tertinggi UMNO, biro politik UMNO, dan Perhimpunan Agung UMNO malah, disambut oleh parti-parti komponen BN.

“Seluruh kepemimpinan BN, termasuk Pengerusi, Zahid, Mohamad Hasan (Timbalan Pengerusi), dan lain-lain, jelas kata saya satu-satunya calon perdana menteri (BN),” katanya.

Ismail berkata pembangkang juga menggunakan isu calon PM dalam cubaan terdesak menanam keraguan dalam kalangan pengundi terhadap kemampuan BN mewujudkan kestabilan – mesej utama gabungan itu dalam kempen pilihan rayanya.

Katanya, sejarah menunjukkan PH dan PN tidak mampu menghasilkan kerajaan stabil.

Ismail menambah BN jelas dengan apa yang ia mahu lakukan untuk memperkasakan negara sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan pada 19 November ini.

“Manifesto kita bukan sahaja menyentuh soal ekonomi tetapi transformasi institusi.”

Related posts

Leave a Comment