Sinovac bagi remaja 12 tahun

PUTRAJAYA 1 Okt. – Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd, Malaysia, kepada remaja berusia 12 tahun dan ke atas di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 yang bersidang hari ini.

KKM sebelum ini meluluskan pendaftaran bersyarat terhadap CoronaVac bagi penggunaan dalam kalangan individu berusia 18 tahun dan ke atas.

Beliau berkata, ia adalah kelulusan bersyarat kedua vaksin Covid-19 untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Cominarty, keluaran Pfizer-BioNTech pada Jun 2021.

Bagaimanapun, PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty.

“Penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin itu dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.

“KKM juga komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD,” katanya.

Related posts

Leave a Comment