Covid-19 : Kemasukan ke hospital meningkat

PUTRAJAYA 14 Nov. – Minggu epidemiologi ke-45 (ME42/2022) menyaksikan peningkatan beberapa indikator kemasukan kes Covid-19 ke fasiliti kesihatan berbanding minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 14.4 peratus pada ME44/2022.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga merekodkan peningkatan sebanyak 16.2 peratus pesakit kategori 3, 4 dan 5 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi manakala

kemasukan pesakit kategori 1 dan 2 menunjukkan penurunan sebanyak 15.2 peratus.

Peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 pada ME 45/2022 berbanding ME 44/2022 menunjukkan penggunaan katil bukan kritikal meningkat sebanyak sembilan peratus; katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak lima peratus; manakala semua katil PKRC yang tidak aktif ditutup.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau memberitahu, pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) juga meningkat sebanyak 0.4 peratus pada ME 45/2022 berbanding ME 44/2022.

Dr Noor Hisham berkata, pemantauan terhadap kes-kes positif Covid-19 oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan sedikit peningkatan.

Beliau berkata, KKM merekodkan peningkatan bilangan kedatangan pesakit ke CAC sebanyak 32.3 peratus.

Begitu juga dengan bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah turut meningkat sebanyak 19.6 peratus namun bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan ke hospital menunjukkan penurunan sebanyak 3.0 peratus.

Jumlah kes yang melengkapkan penilaian kendiri (HAT) menunjukkan peningkatan 2.5 peratus pada akhir ME 45/2022 berbanding ME 44/2022; iaitu daripada 27,514 kepada 28,212 kes.

Daripada jumlah itu, peratusan individu dengan Kategori 2b dan ke atas adalah 7.3 peratus (2,192 kes).

Related posts

Leave a Comment