Kerjasama BN – GPS sentiasa terjalin

SIBU 14 Nov. – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sentiasa terjalin walaupun dua gabungan itu tidak lagi bersama sejak 2018, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kedua-dua gabungan itu mempunyai sejarah panjang serta saling memahami satu sama lain.

Justeru, katanya, kerjasama erat itu cukup meyakinkan untuk pihaknya memperoleh kemenangan pada PRU15 Sabtu ini.

“Kerjasama dengan GPS itu pasti. Walaupun (GPS) bukan dalam komponen BN lagi, tetapi kami ada sejarah yang panjang dan saling memahami.

“BN memahami aspirasi rakyat serta kerajaan Sarawak dan disebabkan hubungan yang baik, walaupun kita berbeza sekarang, tetapi kita terus bersama.

“Ketika saya menjadi ketua pembangkang (di Parlimen) GPS bersama kita, mereka tidak sertai Pakatan Harapan (PH) ketika itu,” katanya pada sidang media selepas perasmian Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Seksyen Selangau, hari ini.

Ditanya mengenai peluang BN untuk meraih kemenangan Sabtu ini,  beliau cukup yakin namun memadai jika BN menang dengan majoriti mudah.

“Saya tidak sebut (BN mampu) menang dua pertiga, tetapi mampu menang dengan majoriti mudah kerana keadaan sekarang berbeza.

“Dahulu majoriti mudah amat berbahaya kerana (pemenang) boleh lompat parti…tetapi sekarang dengan adanya akta lompat parti, selepas menang tiada siapa boleh lompat parti lagi kerana kalau lompat juga dia kena kosongkan kerusi,” katanya.

Ismail Sabri juga mengulangi kenyataan sebelum ini, tidak timbul isu sama ada calon Perdana Menteri mewakili BN bertukar jika gabungan itu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, ini kerana soal penetapan calon Perdana Menteri itu sudah pun diputuskan di peringkat parti sebelum ini, sama ada melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Biro Politik atau Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Malah, katanya mesyuarat akar umbi UMNO juga menyaksikan 156 daripada 190 bahagian sudah membuat usul untuk mencadangkan nama beliau sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

“Saya percaya tidak akan berlaku perubahan, tetapi kalau berlaku pun mesti dirujuk keputusan itu dalam mesyuarat MKT atau perhimpunan agung,” katanya.

Sebelum ini timbul pertikaian mengenai calon Perdana Menteri mewakili BN dengan pembangkang turut memainkan isu kononnya bukan Ismail Sabri yang akan diangkat ke jawatan itu sekiranya gabungan berkenaan menang dalam PRU15, sebaliknya ia akan diisi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pembangkang turut mendakwa kononnya satu undi untuk UMNO dan BN bukanlah untuk Ismail Sabri, sebaliknya ia sebenarnya satu undi untuk Ahmad Zahid.

Bagaimanapun Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai isu sama sebelum ini, mengulangi pendirian bahawa Ismail Sabri akan tetap diangkat sebagai Perdana Menteri jika gabungan itu memenangi PRU15.

Related posts

Leave a Comment