PH sedia pimpin Johor – Zaliha

SEPANG 31 Mei – Pakatan Harapan (PH) bertekad untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan bersedia mentadbir dengan baik, kata Pengerusi PKR Johor Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, PH bersedia memimpin perubahan, membina Johor yang lebih maju, makmur dan adil untuk semua.

“Bersiaplah! Rakyat Johor semakin waras, dan mereka akan membuat pilihan yang tepat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah Pilihan Raya PKR,  Amiruddin Shaari.

Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, perbincangan bersama Naib Presiden PKR itu adalah bagi memperkemaskan persiapan menghadapi PRN Johor yang semakin hampir.

“Fokus diberikan kepada pengukuhan jentera, penyelarasan strategi lapangan serta usaha memastikan Pakatan Harapan bersedia bukan sekadar untuk bertanding, tetapi untuk memimpin Johor dengan kecekapan, integriti dan visi yang jelas,” katanya.

Beliau berkata, Johor terus maju hasil sokongan dan komitmen Kerajaan Madani melalui pelaburan, pembangunan serta pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“PRN ini bukan soal kuasa, tetapi soal masa depan Johor yang memerlukan kepemimpinan matang, kerajaan stabil dan pentadbiran yang benar-benar mengutamakan rakyat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment