MAKKAH: Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia/Jakim) disaran memikirkan ijtihad baharu dalam usaha mengatasi isu kesesakan akibat ruang sempit dalam khemah di Mina.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata langkah itu perlu supaya masalah kesesakan dalam khemah di Mina yang berlaku saban tahun tidak berterusan.
Katanya isu ruang sempit ketika bermabit di Mina mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan keprihatinan baginda terhadap kebajikan jemaah Malaysia.
Menurut Dr Mohd Na’im, beliau menerima teks pesanan secara peribadi daripada Seri Paduka pada pagi semalam yang mahu perkara itu diteliti dan ditangani.
Beliau berkata, isu itu akan berterusan lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah jemaah haji, sementara keluasan kawasan terbabit tidak berubah dan ditetapkan oleh hukum.
“Islam adalah agama yang memberi penyelesaian kepada setiap masalah. Oleh itu, isu ruang sempit dalam khemah sehingga menyebabkan jemaah mengalami kesukaran ketika bermabit di Mina, perlu dilihat semula dan dibincangkan secara teliti oleh jawatankuasa penasihat bagi mencari penyelesaian terbaik dengan ijtihad baharu.
“Tujuannya ialah bagaimana kita hendak memastikan keselesaan sebab ia berkait rapat dengan ibadah. Jika seseorang jemaah itu berasa marah saja kerana tidak selesa, ia akan mengganggu ibadahnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH di Makkah, Abraj Al-Janadriyah.
Mengenai ijtihad baharu yang boleh dibincangkan, Mohd Na’im berkata sebagai contoh, ada negara membenarkan jemaah haji mereka tinggal di luar kawasan masyair dan berulang alik untuk bermabit dalam tempoh jam tertentu di Mina.
Sambil menjelaskan penelitian jawatankuasa penasihat itu perlu mengambil kira keperluan jangka panjang, beliau bagaimanapun menekankan, tidak timbul isu kuota jemaah haji akan dikurangkan sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan dalam khemah di Mina.
Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM) terdiri daripada lapan pakar yang antara lain bertanggungjawab memutuskan kedudukan hukum-hakam berkaitan isu ibadah haji yang dirujuk.
Secara umum, jawatankuasa itu akan membawa cadangan kepada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang dibarisi antara 300 hingga 400 ilmuwan Islam yang arif dalam urusan ibadah haji.
Mohd Na’im berkata, pengurusan tertinggi TH akan mengadakan mesyuarat ‘post-mortem’ bagi menilai secara terperinci perjalanan musim haji tahun ini dan mengenal pasti ruang penambahbaikan sebagai persiapan untuk Musim Haji 1445H/2024M.
