BN sedang ‘dating’ dengan GPS?

SELANGAU 14 Nov. – Barisan Nasional (BN) sedang ‘berdating’ atau dalam erti kata lain sedang bercinta sebelum melangsungkan majlis perkahwinan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kami sedang berdating (menjalinkan percintaan),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Seksyen Selangau WPC08, di sini, hari ini.

Kenyataan Ismail Sabri itu sebagai membalas analogi Abang Johari sebelum ini membayangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai wanita cantik yang sedang dilamar oleh ramai lelaki (pakatan politik di Semenanjung).

“Sekarang ini kita lagi syok-syok sendiri, ini kami sedang ‘bergerek’ (sedang bercinta) tidak lama lagi akad nikahlah,” katanya bagi mengulas pertanyaan media adakah GPS telah menerima lamaran BN untuk bekerjasama selepas PRU15.

Sebelum ini Abang Johari menyatakan belum memutuskan dengan siapa kerjasama akan diadakan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai.

Bagaimanapun pertemuan Ismail Sabri dan Abang Johari di Sarawak hari ini membayangkan kedua-dua pucuk kepemimpinan itu selesa untuk membentuk kerjasama selepas PRU15.

Selepas PRU14, kerajaan negeri Sarawak telah memutuskan untuk tidak menjalinkan apa-apa ikatan dengan pakatan politik di Semenanjung sebaliknya membentuk GPS.

Semasa pertukaran kerajaan, GPS menjadi ‘king maker’ bagi menentukan Perdana Menteri Malaysia iaitu pada zaman pemerintahan Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional) dan  Ismail Sabri (BN) sekali gus membentuk kerajaan baharu.

PRU15 kali ini menyaksikan GPS bertanding di semua 31 kerusi Parlimen negeri dengan 20 kerusi disandang oleh calon parti itu.

 

Related posts

Leave a Comment