Henti berbalas kenyataan, utama solidariti

BERA 13 Nov. –  Semua calon Barisan Nasional (BN) dan UMNO diminta memberi tumpuan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini bukannya   berbalas kenyataan yang tidak membawa  kebaikan kepada parti.

Naib Presiden UMNO,  Ismail Sabri Yaakob, berkata, solidariti dalam BN dan UMNO perlu diutamakan untuk meningkatkan keyakinan rakyat kepada parti.

“Saya harap tidak kira siapa dalam UMNO atau BN agar memberi tumpuan untuk menang di kawasan yang ditandingi. Ini lebih penting untuk calon BN dapat menyumbang kerusi dan menjadi parti dominan dalam membentuk kerajaan.

“Apa yang penting kini adalah menguatkan parti dan menang pilihan raya adalah sasaran kita (BN),” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Papan di Kuala Bera, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, rakyat kini sedang melihat dan menilai setiap tindak tanduk calon yang bertanding dan mungkin pelbagai spekulasi dan persepsi boleh dibuat.

Sejak beberapa hari lalu, Presiden UMNO,  Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, dilihat sering berbalas kenyataan di media khususnya mengenai isu pencalonan Khairy di kawasan berkenaan.

Khairy secara terbuka mengakui terpaksa mencari sendiri kerusi Parlimen yang akan ditandinginya selepas dia diminta mengosongkan kerusi Parlimen Rembau.

Malah, Khairy juga secara terbuka mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin UMNO dan mahu ‘membersihkan’ parti itu jika berjaya menawan Parlimen Sungai Buloh.

Ahmad Zahid dalam responnya meminta Khairy menumpukan usaha memenangkan kerusi Sungai Buloh sambil mengakui bekas Ketua Pemuda UMNO itu sendiri yang meminta untuk bertanding di kerusi itu.

Related posts

Leave a Comment