Tiba masa bawa perubahan di Sungai Buloh

SUNGAI BULOH 13 Nov. – “Sudah tiga kali ‘merah’ (Pakatan Harapan) jaga tetapi banyak masalah tak diselesaikan, sebab itu kali ini kita mesti bawa perubahan kepada Sungai Buloh. Berilah peluang kepada KJ (Khairy) di sini,” .

Begitulah ketegasan dan harapan calon arisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin ketika berucap di hadapan ribuan pengunjung program Sepetang bersama Pemimpin: Masyarakat Sungai Buloh bersama KJ dan DSH2O, hari ini.

Menteri Kesihatan itu menegaskan, perubahan yang ingin dibawa beliau di Sungai Buloh umpama semangat dan komitmen beliau membantu kerajaan mengurus Covid-19 sehingga mampu keluar daripada pandemik itu.

Khairy yang dianggap sebagai calon ‘underdog’ berkata, sebagaimana beliau mengurus Covid-19 hingga Malaysia mampu keluar daripada pandemik itu, begitu jugalah dedikasi dan semangatnya untuk berkhidmat di Sungai Buloh, jika menang pada PRU15.

“Saya mahu jadi Ahli Parlimen bawa perubahan kepada Sungai Buloh. Seminggu saya dengar rintihan mengenai masalah dihadapi penduduk tak dapat diselesaikan kerajaan negeri dan wakil rakyat sedia ada,” katanya.

Program itu turut dihadiri Menteri Kanan Pertahanan yang juga calon BN bagi Parlimen Sembrong, Johor, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (DSH2O)

Khairy berkata, percaturan BN meletakkan calon dengan latar belakang sebagai pemimpin di peringkat Pusat di kawasan bandar antara lain menterjemahkan kesungguhan gabungan itu untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat setempat.

Menurut Khairy, biasanya BN tidak akan ‘menghantar ‘ pemimpin Persekutuan di Sungai Buloh tetapi selepas berbincang dengan pelbagai pihak, beliau mengambil risiko bertanding di situ.

Begitu juga Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kuala Selangor.

“Saya mahu berkhidmat kepada anda dan akan lakukan terbaik. Sama ada (golongan) B40, M40 atau pelbagai kategori lain, semuanya saya akan curahkan khidmat bakti kepada Sungai Buloh. Ini bukan janji kosong,” katanya.

Beliau berkata Hishammuddin dan beliau adalah antara menteri tergolong dalam kuatret yang diamanahkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk cari jalan keluar daripada Covid-19.

“Kami berusaha keras untuk negara keluar daripada Covid-19 dan saya akan usaha yang sama untuk memberi khidmat kepada rakyat Sungai Buloh,” katanya.

Khairy juga mengakui , selepas seminggu berkempen di Sungai Buloh, dirinya sudah mula jatuh hati dengan penduduk di situ, selain menyatakan kesediaan untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Justeru, beliau merayu semua pengundi Parlimen Sungai Buloh agar tidak mensia-siakan peluang untuk menamakan bekas Ketua Pemuda UMNO itu sebagai wakil rakyat, pada 19 November ini.

“Saya sudah mula merasai angin perubahan di Sungai Buloh, biarpun baru berkempen tujuh hari di sini. Saya sudah mula jatuh cinta pada Sungai Buloh dan tak sabar mahu jadi wakil rakyat anda semua. Kalau boleh nak mula berkhidmat hari ini,” katanya.

Beliau juga memberi gambaran penduduk di Sungai Buloh yang terdiri daripada 65 peratus kaum Melayu, manakala Cina (20 peratus) dan India (10 peratus) itu mirip populasi keseluruhan Malaysia yang majmuk.

Related posts

Leave a Comment