Khairy mahu ‘bersihkan’ UMNO

SUNGAI BULOH 12 Nov. – Khairy Jamaluddin sekali lagi di pentas kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyatakan ‘hasratnya’ secara terbuka dalam dunia politik, kali ini mahu ‘membersihkan’ UMNO , dan menjadikan parti itu wadah mulia untuk orang Melayu.

Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh itu mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin UMNO, dan perlu dibersihkan untuk kembali menjadi parti yang boleh dibanggakan sebagai wadah politik terbesar seperti suatu ketika dahulu.

Khairy yang sebelum ini secara terbuka menyatakan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri suatu masa nanti berkata, percaturan lebih besar selepas berjaya menawan Sungai Buloh, adalah membawa perubahan kepada negara, UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya tak mahu berhenti di Sungai Buloh semata-mata kerana bertanding di sini cabaran terbesar dalam kerjaya politik saya. Nak menang di sini bukan mudah, tetapi kalau saya menang, saya nak bawa kita semua, bukan sekarang tetapi mungkin lima atau 10 tahun akan datang untuk menerajui pimpinan negara.

Saya juga mahu bawa perubahan kepada parti saya (UMNO). Sekarang ini ramai jumpa dan maklumkan saya, bukan mereka tak suka UMNO tetapi kurang berkenan dengan beberapa (individu) dalam UMNO.

Media janganlah pula lagakan saya dengan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tetapi ini kenyataan dan realitinya. Saya dan rakan lain mahu kembalikan UMNO sebagai wadah Melayu yang mulia, bersih, berubah dan memiliki pemimpin bagus dan mampu diberi kepercayaan seperti suatu ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Silaturrahim bersama Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (PERAKAM) di Kelab Rahman Putra di sini, malam ini.

Khairy  menegaskan semua pihak perlu mengakui UMNO perlu berubah untuk kembali menjadi parti yang boleh dibanggakan dan menjadi wadah politik terbesar seperti suatu ketika dahulu.

Menyifatkan dirinya sebagai reformis dalam UMNO dan tidak boleh kunci mulut, Khairy  mengakui UMNO ketika ini perlu diperbaiki supaya parti itu dapat kembali ke pangkal jalan.

“Ini kita cakap yang benar. Janganlah berselindung lagi. Orang Melayu sentiasa ada (perasaan) sentimental terhadap UMNO. Cuma UMNO ini dah sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan dan perlu diperbetul semula.

“Saya nak menang PRU15 untuk memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Selepas itu kita bersihkan semula UMNO serta bawa balik keyakinan rakyat.

“Sebab itulah pertaruhan saya kali ini bukan semata-mata untuk Sungai Buloh sahaja tetapi untuk masa depan negara, UMNO dan BN. Kalau saya menang insya-Allah kita boleh melihat perubahan besar. Bermula dari Sungai Buloh dan berakhir ke Putrajaya,” katanya.

Mengulas cabaran bertanding di Parlimen Sungai Buloh, Khairy berkata, beliau berani menyahut cabaran berlawan di negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) sejak 2008.

Justeru, beliau berharap penduduk Sungai Buloh dapat bersama-sama menyokong misinya yang lebih besar untuk bergerak dan memimpin negara pada masa akan datang.

“Julung kalinya, ada wakil daripada parti saya (UMNO) yang memegang jawatan dalam Jemaah Menteri, yang berani untuk bertanding (di kawasan tidak selamat) di Selangor.

“Selama ini tokoh besar dalam parti saya selalu cuba, dan memilih kawasan selamat. Sebab itu tiada saingan yang hebat di Selangor. Kalau dulu yang menang Tan Sri Noh Omar saja. Itu pun di Tanjung Karang.

“Nak datang sedikit bandar macam Sungai Buloh tiada siapa yang berani. Kuala Selangor pun tiada yang berani, kecuali Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan) pergi ke Kuala Selangor. Biarpun ada sedikit kenyataan saya dan Presiden (yang berbeza), akhirnya saya juga yang pilih untuk lawan di sini,” katanya.

Khairy juga memberi jaminan akan kerap mengunjungi Sungai Buloh jika berjaya menawan kawasan itu pada PRU15, sekali gus menyangkal tohmahan wakil rakyat hanya boleh dilihat secara bermusim.

“Saya nak menjadi seorang wakil rakyat yang boleh beri perkhidmatan terbaik kepada semua. Ada yang tanya KJ (Khairy) akan ada di kawasan atau tidak sebab ramai yang jumpa wakil rakyat setahun atau lima tahun sekali.

“Rumah saya tak jauh. Di Bukit Damansara sahaja. Tiada alasan untuk saya tak berada di kawasan.

“Kalau nak uji saya, bila banjir nanti, hantarlah mesej ‘KJ 15 minit, be here now’, Tengok macam mana. Kalau tiada aral melintang atau urusan di luar negara, saya akan datang kawasan, tiada masalah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment