Dakwaan undi awal, bayar keterlaluan

KLUANG 12 Nov. – Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein, menyifatkan sebagai keterlaluan dakwaan kononnya ada anggota tentera di Bera, Pahang, sudah mengundi awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dibayar untuk berbuat demikian.

Katanya, dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim itu juga sebagai usaha untuk menidakkan integriti dan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menerusi kepentingan politik yang sempit.

“Saya lihat tindakan Anwar ini mengheret ATM dalam permainan politiknya itu, bukan sahaja membuat pasukan keselamatan kita marah tetapi orang ramai juga berpendapat perlu ada had dan batasan dalam berpolitik,” kata Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu selepas menghadiri Program Jom Santai Bersama Orang Muda Sembrong di Ngepot Kabin, di sini, malam ini.

Hishammuddin mengulas dakwaan penyandang Presiden PKR itu, semasa ceramah PH di Kuala Terengganu, kononnya terdapat kem tentera di Bera, yang melaksanakan undian awal semalam, selain dikatakan dibayar RM300.

Terdahulu, Perdana Menteri  Ismail Sabri Yaakob meminta Anwar menarik balik tuduhan itu dan memohon maaf kepada anggota ATM, kerana menuduh mereka menerima wang dan sebagainya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak menolak mungkin yang didakwa sebagai undi awal itu ialah undi pos kepada anggota pasukan keselamatan, yang boleh memohon untuk mengundi secara pos, jika mereka tidak dapat hadir semasa hari mengundi awal kerana bertugas.

Related posts

Leave a Comment