Dr. M dakwa ada pemimpin Pas peralat agama

SUNGAI PETANI 12 Nov. –  Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Dr Mahathir Mohamad, mendakwa terdapat pemimpin Pas yang cenderung memperalatkan agama untuk tujuan politik mereka.

Justeru beliau mengingatkan, negara akan berdepan lebih banyak masalah sekiranya rakyat memberi peluang kepada Pas untuk memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya fikir mereka (Pas) akan memperalat agama lebih banyak lagi (jika menang PRU15), ketika ini pun mereka sudah banyak memperalatkan agama.

“Jika mereka menang, kita akan menghadapi lebih banyak masalah kerana ada (pemimpin) yang ekstrem tetapi mereka yang mengikut ajaran Islam betul, tidak ada masalah,” dakwanya pada sidang media selepas Rapat Umum Sayang Bangsa dan Negara, di sini, malam tadi.

Semalam, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, dilaporkan meminta supaya Perikatan Nasional (PN) diberi peluang mentadbir Malaysia selama satu penggal berdasarkan rekod prestasi gabungan parti itu yang bersih daripada sebarang salah laku.

Dr Mahathir yang bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi, mendakwa bahawa Pengerusi PN,  Muhyiddn Yassin juga kini didapati memperalatkan agama apabila bergabung dengan Pas.

“Saya kenal Muhyiddin… dulu dia tak baca doa, sekarang dalam pilihan raya, baca doa panjang-panjang sejak berkawan dengan Pas.

“Kita kena hormat agama, jangan peralat agama, tetapi mereka peralat agama kononnya mereka terlatih dalam bidang agama,” dakwanya.

Sementara itu ditanya kemungkinan GTA akan bergabung bersama parti lain selepas PRU15 pula, beliau yang juga Pengerusi Pejuang menegaskan, pihaknya tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), PN dan Pakatan Harapan (PH).

“Mungkin lebih baik menjadi pembangkang daripada bekerjasama dengan (didakwa) ‘penyangak’. Kita ada pilihan lain (untuk kerjasama) tetapi bukan BN, PN atau PH.

“Kita ada parti dari Sabah dan Sarawak selain parti di Semenanjung, kita juga ada calon Bebas lain yang boleh bekerjasama jika mencapai standard kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment