Syurga, neraka milik Allah SWT

IPOH 12 Nov. – Ketua Pemuda UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegur perbuatan melabel seseorang sebagai ahli neraka hanya kerana mengundi parti politik tertentu dengan menegaskan syurga dan neraka milik mutlak Allah SWT.

Calon BN Parlimen Gerik itu berkata, tiada sesiapa yang boleh menentukan seseorang akan dimasukkan ke neraka jika memilih parti tertentu.

“Syurga dan neraka milik mutlak Allah. Tiada siapa yang boleh menentukan akan masuk neraka jika pangkah parti-parti tertentu.

“Hentikanlah jual beli syurga neraka setiap kali musim pilihan raya. (Sebaliknya) tawarkanlah dasar dan polisi bermanfaat untuk rakyat dan bukannya bergantung kepada kempen adu-domba, menabur fitnah dan menanam benci,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, kenyataan Asyraf itu dipercayai merujuk kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Nasir yang memberi amaran kepada pengundi bahawa akan ‘masuk api neraka’ sekiranya memilih Pakatan Harapan (PH) dan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri yang merujuk kepada kenyataan Mohd Shahiful terbabit berkata, aliran ceramah ‘syurga dan neraka’ yang pernah dipopularkan Pas dahulu masih digunakan sehingga kini untuk mendapatkan undi dan menampakkan politik sempit.

Related posts

Leave a Comment