SEPANG 21 Okt. – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain, 54 mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, bulan lalu.
Mohd Shuhaily, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani, di sini, hari ini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohd Shuhaily didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada 28 September lalu.
Beliau turut didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, di lokasi dan pada masa yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Mohd Shuhaily pula diwakili oleh peguam Rosal Azimin Ahmad, Yaacob Md Sam, Dr Baljit Singh Sidhu, Akberdin Abdul Kader, Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.
Terdahulu, Suhaily, berterima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberi sokongan daripada sudut doa dan kiriman mesej.
Beliau berkata, sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat itu amat bermakna ketika beliau berdepan proses perundangan.
“Itu yang membuatkan saya mempunyai kekuatan dan juga keyakinan dalam meneruskan proses perundangan ini,” katanya pada sidang media ringkas di lobi Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang, pagi ini.
Mohd Shuhaily berkata, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menjalankan proses perundangan mengikut aturan sewajarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sidang media itu adalah yang terakhir daripadanya berhubung proses perundangan berkenaan.
“Ini adalah sidang media terakhir saya berhubung proses perundangan ini. Selepas proses di mahkamah selesai nanti, peguam saya akan bercakap bagi pihak saya,” katanya.
Nnnn
