PARIT 22 Jun – Kepemimpinan Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas masih diperlukan di sebalik pandangan ada kewajaran menggantikan beliau berikutan faktor kesihatan dan demi peremajaan parti.
Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pandangan, idea dan kepemimpinan Abdul Hadi masih diperlukan oleh parti di sebalik kejayaan Pas yang disifatkan paling cemerlang di bawah kepemimpinan beliau
Katanya, tiada sebab untuk Abdul Hadi berundur termasuk mengambil alih peranan lain seperti penasihat selepas Pas menawan 34 kerusi Parlimen dan mentadbir beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Tiada isu sangat mengenai kesihatan memandangkan Tok Guru (Abdul Hadi) baru menjalani rawatan di IJN ( Institut Jantung Negara) dan keadaan beliau sihat dan kita jangka dalam sehari dua ini mungkin beliau akan keluar daripada IJN.
Pencapaian paling baik adalah di bawah kepimpinan Tok Guru sampai kita menang besar sampai di peringkat Parlimen 34 kerusi dan di beberapa DUN kita menang. Jadi tengah berjaya tak akan suruh kita berhenti?
“Yang penting dalam kepemimpinan, bukan kita hendak berlawan fizikal, tetapi idea pemikiran, pengurusan dan sebagainya. Itu yang penting dan kita yakin Tok Guru ini masih mampu,” katanya kepada selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Parit ke-59 di D’ Hotel Seri Iskandar, Seri Iskandar, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu diminta mengulas langkah peremajaan parti bagi Pas di sebalik desas-desus mengenai perubahan kepemimpinan tertinggi parti itu susulan pemilihan parti sempena Muktamar Pas ke-71, September ini.
Pada Februari lalu, akhbar melaporkan Tuan Ibrahim masih berteka-teki sama ada mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS atau tidak, dengan menyerahkan perkara itu kepada perwakilan PAS sama ada mahu mencalonkannya bagi jawatan kedua tertinggi parti itu atau sebaliknya.
Menurut Tuan Ibrahim lagi, Abdul Hadi dianggap tokoh paling kanan dalam gerakan Islam di seluruh dunia dan menjadi rujukan termasuk dalam isu berkaitan konflik antara Iran membabitkan aliran mazhab Syiah dan Israel seperti yang berlaku ketika ini.
“Sebagai contoh pendirian Tok Guru (Abdul Hadi) berkaitan antara Sunni dan Syiah supaya kita tidak terperangkap dengan mainan musuh yang mahu melaga-lagakan. Pandangan ini sudah lama Tok Guru Presiden beritahu dan ternyata apa yang dinyatakan oleh beliau itu betul-betul berlaku sekarang.
“Maknanya kita lihat beliau masih menjadi sumber rujukan kepada gerakan Islam yang lain,” katanya.
Nnn