Jangan salah faham maksud ‘bersihkan UMNO’

SUNGAI BULOH: Kenyataan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin yang mahu membersihkan’ UMNO bukan bermaksud parti itu rosak sebaliknya mahu melihat kebangkitan generasi pemimpin muda dan baharu.

Beliau berkata generasi baharu mesti memberi aspirasi kepada orang ramai bahawa UMNO sedang berubah dengan penampilan calon muda dan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU15) dan menjadi pilihan terbaik.

“Orang ramai hendak melihat kepada generasi baharu, kepemimpinan baharu dalam UMNO, itu maksud saya.

“Bukan saya maksudkan parti itu rosak, parti tidak rosak, cuma kita hendak melihat satu kebangkitan generasi kepemimpinan yang baharu dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pemimpin kita.

“Jangan salah faham seolah-olah UMNO itu sesuatu yang sudah rosak, sekarang ini kita hendak melihat perubahan wajah kepimpinan dan kita sudah menawarkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kita,” katanya kepada media selepas program ramah mesra bersama pelajar tahfiz Darul Ulum az-Zahra di sini hari ini.

Malam tadi, Khairy ketika berucap pada satu majlis silaturrahim di sini secara terbuka mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin UMNO dan mahu ‘membersihkan’ parti itu, jika berjaya menawan Parlimen Sungai Buloh pada PRU15.

Beliau menegaskan semua pihak perlu mengakui UMNO perlu berubah untuk kembali menjadi parti yang boleh dibanggakan dan menjadi wadah politik terbesar seperti suatu ketika dahulu.

Sementara itu mengulas lawatan ke pusat tahfiz berkenaan, Khairy berkata, dalam manifesto Kata Janji beliau, salah satu komitmen adalah penyediaan kelas pengajian al-Quran melalui platform digital.

“Jadi ini adalah satu peluang untuk bergabung dengan tahfiz supaya mereka boleh kendalikan kelas atas talian dan kita bekerjasama dengan mereka untuk orang ramai.

“Guna aplikasi Zoom untuk pelajari bacaan al-Quran, ajak alumni sekolah tahfiz ini untuk mengendalikan kelas ini yang akan diselaraskan di bawah pejabat saya nanti,” katanya.

Beliau berkata, bantuan peruntukan juga akan diberikan kepada pusat tahfiz bertauliah sekitar Sungai Buloh bagi meningkatkan prasarana dan kemudahn pelajar.

“Masalah keperluan asas dan infrastruktur menjadi penekanan, itu kita boleh bantu melalui sumbangan dan peruntukan, mereka perlukan wakil rakyat yang memahami apa yang mereka mahu.

“Saya sejak di Parlimen Rembau memang memberi bantuan dan peruntukan untuk pusat tahfiz di sana, di Sungai Buloh pun banyak pusat tahfiz yang beroperasi secara bertauliah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment