Risiko golongan berpendapatan rendah

GENEVA – Golongan berpendapatan dan berpendidikan rendah berdepan risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit kronik tertentu serta berdepan halangan untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam penilaian global pertamanya mengenai ketidaksamaan dalam penyakit tidak berjangkit (NCD), meneliti jurang dalam aspek kanser, penyakit kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik dan diabetes.

Dalam laporannya, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut menilai ketidaksamaan dari segi faktor risiko, termasuk penggunaan tembakau, obesiti, pemakanan tidak sihat dan pencemaran udara.

Hasil kajian menunjukkan bahawa golongan berpendidikan rendah di negara berpendapatan rendah dan sederhana cenderung mencatatkan kadar hipertensi dan diabetes yang lebih tinggi.

Laporan itu turut mendapati bahawa wanita daripada golongan berpendapatan rendah dan berpendidikan rendah kurang berkemungkinan menjalani saringan kanser serviks.

Penduduk luar bandar juga berdepan halangan lebih besar untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan hipertensi serta menjalani saringan kanser berbanding penduduk bandar di banyak negara, menurut agensi itu.

Laporan berkenaan turut mengetengahkan ketidaksamaan berasaskan jantina dari segi risiko penyakit kronik dan akses kepada penjagaan kesihatan.

Hasil kajian menunjukkan lelaki lebih cenderung menggunakan tembakau dan mengambil alkohol, selain kurang berkemungkinan mendapatkan diagnosis dan rawatan hipertensi.

Sementara itu, wanita mencatatkan kadar aktiviti fizikal yang tidak mencukupi dan obesiti yang lebih tinggi, khususnya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut laporan itu, golongan dewasa lebih muda yang menghidap hipertensi juga kurang berkemungkinan didiagnosis dan menerima rawatan berbanding pesakit yang lebih berusia.

Agensi itu menggesa kerajaan supaya memperkukuh perkhidmatan pencegahan, saringan dan rawatan untuk golongan yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, selain menambah baik pengumpulan data bagi mengenal pasti jurang dalam akses penjagaan kesihatan.

Related posts

Leave a Comment