Iran bertegas isu bahan nuklear

TEHRAN – Iran menegaskan pendirian tidak akan membenarkan bahan nuklear dibawa keluar dari negaranya, iaitu aset utama dan kekayaan negara bagi rakyat dan  yang bertujuan untuk digunakan dalam negara.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei, menegaskan tidak sedikit pun bahan nuklear diperkaya akan dibawa keluar dari Iran.

“Tiada rundingan akan diadakan sehingga Amerika Syarikat (AS) mengambil langkah membina kepercayaan yang perlu dimulakan dengan memenuhi syarat Iran,” katanya dalam pertemuan dengan Ketua Tentera Pakistan, Asim Munir, yang sedang melakukan lawatan ke negara itu.

Sebelum ini, Tehran bertegas tidak akan menyerahkan bahan nuklearnya yang diperkaya sehingga 60 peratus iaitu hampir kepada tahap 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan bom atom kepada mana-mana negara.

Namun, Tehran memberi bayangan kemungkinan mencairkan kepekatannya di dalam negara.

Washington dan sekutunya mengenakan beberapa siri sekatan terhadap Iran dengan menuduh negara itu berusaha membangunkan senjata nuklear, dakwaan yang sekian lama dinafikan Tehran

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, turut menolak idea rundingan ketika berdepan ancaman AS dalam pertemuannya dengan Munir yang berada di Tehran sebagai sebahagian daripada usaha baharu untuk menjadi orang tengah bagi mencapai perjanjian damai antara republik Islam itu dengan AS.

Sementara itu, Ketua perunding Iran merangkap Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf, turut menyampaikan pendirian serupa kepada Munir.

“Kami tiada perkara baharu untuk diperkatakan, AS tidak akan dapat meraih kepercayaan Iran melainkan memenuhi tujuh syarat itu,” katanya sambil menegaskan ‘ancaman dan gerakan ketenteraan tidak akan mempengaruhi keputusan strategik Iran’.

Antara tuntutan Iran termasuk gencatan senjata di seluruh Asia Barat, pembebasan asetnya yang dibekukan di luar negara serta pemansuhan sekatan terhadap sektor minyaknya.

Related posts

Leave a Comment