Dua pemimpin bertemu di Phnom Penh

PHNOM PENH 11 Nov. – Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Indonesia Joko Widodo membincangkan perkembangan serantau, termasuk langkah ASEAN seterusnya berhubung isu Myanmar.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan mesyuarat dua hala pada lewat petang semalam sejurus Lee tiba di Phnom Penh untuk menghadiri Sidang Puncak ASEAN yang ke-40 dan ke-41.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), kedua-dua pemimpin sudah bekerjasama rapat secara dua hala dan melalui ASEAN sejak bertahun-tahun lamanya di samping sudah sekian lama menjalin hubungan peribadi yang baik.

“Mereka menegaskan keutamaan bersama kedua-dua negara dalam merangsang pemulihan ekonomi dan pembangunan modal insan serta kemajuan yang dicapai dalam inisiatif kemampanan dua hala,” tambah PMO.

Lee juga akan menghadiri Sidang Puncak G20 di Bali pada minggu depan di mana Presiden Jokowi menjadi tuan rumah kepada sidang itu.

Beliau juga menekankan sokongan Singapura kepada Indonesia selaku pengerusi ASEAN pada 2023 dan akan bekerjasama rapat dengan negara itu dalam merealisasikan matlamat dan sasarannya sebagai pengerusi sidang berkenaan.

Sidang Puncak ASEAN tahun ini dan sidang-sidang puncak berkaitan, yang diadakan dari Jumaat hingga Ahad, adalah bersempena ulang tahun ke-55 ASEAN.

Selain perbincangan mengenai keadaan di Myanmar, mesyuarat sidang puncak itu juga akan diadakan bersama rakan-rakan kongsi luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS), China, India, Jepun, Korea Selatan, Australia dan Kanada.

(Foto fb Jokowi)

Related posts

Leave a Comment