Janji GTA ‘9 kuasa’ di bawah Parlimen

PUTRAJAYA 11 Nov. – Gerakan Tanah Air (GTA) yang menampilkan tujuh agenda dalam manifesto gabungan itu akan meletak sembilan pegawai tertinggi kerajaan di bawah bidang kuasa Parlimen, sekiranya diberikan mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sembilan ‘kuasa kedaulatan negara’ terbabit ialah Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Turus Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Audit Negara dan Gabenor Bank Negara.

Pengerusi Penaja GTA, Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan manifesto berkenaan melalui saluran media sosial parti, malam tadi, berkata langkah itu bagi memperkukuh elemen pengasingan kuasa melalui penambahbaikan perundangan dan penstrukturan.

Manifesto itu turut menekankan pembentukan Suruhanjaya Diraja Khas Integriti dan Pembanterasan Rasuah, selain reformasi politik negara melalui penggubalan Akta (Pengurusan) Parti Politik, Akta Pendanaan Politik, pembanterasan budaya politik wang dan korupsi dalam parti politik, serta prinsip persempadanan pilihan raya.

Katanya, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang, memberi komitmen akan menubuhkan sebuah kerajaan yang berwibawa dan bertanggungjawab.

“Kami juga berikrar untuk mewujudkan kerajaan bebas rasuah; kerajaan berpegang prinsip bersih, cekap dan amanah sebagai teras semua lapisan pentadbiran; kerajaan yang menebus kedudukan ekonomi Malaysia dan kembali menjadi Harimau Asia; dan menjadi kerajaan berprinsip, berintegriti serta mempertahankan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang menekankan, GTA percaya bahawa jika kerajaan yang ditubuhkan itu berpegang kepada prinsip berkenaan, maka kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan dapat dipenuhi.

Selain itu, beliau berkata, rakyat daripada setiap lapisan masyarakat akan mendapat keadilan sewajarnya, dan tiada keadilan terpilih atau kumpulan kayangan diberikan keistimewaan ‘tanpa gari’ manakala rakyat biasa ‘tergari’.

“Kebebasan rakyat sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan akan dihormati sepenuhnya. Ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, dipertahankan.

“Inilah janji kami, dan janji ini mampu serta pasti kami penuhi jika diberi peluang mendirikan kerajaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment