Anwar perlu mohon maaf, tarik tuduhan

BERA 11 Nov. – Anwar Ibrahim perlu memohon maaf dan menarik balik tuduhan mengatakan anggota tentera yang mengundi di Parlimen Bera dibayar RM300, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO yang juga penyandang Parlimen Bera itu berkata, dakwaan itu bertujuan merendahkan imej anggota pasukan keselamatan itu.

Katanya, dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu seperti sengaja mahu menimbulkan pandangan negatif masyarakat terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tambah Perdana Menteri, Anwar perlu memohon maaf dan menarik balik tuduhan sedemikian kerana ia bersifat jahat dan menghina seluruh anggota tentera di negara ini.

“Tindakan ini boleh mencemarkan imej tentera. Jadi saya harap Datuk Seri Anwar minta maaf bukan kepada saya tapi maaf kepada anggota tentera yang mengundi awal kerana menuduh mereka menerima wang dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Ngeteh Santai Orang Kita di Perkampungan Orang Asli Kampung Bongkok Bera.

Tambah Ismail Sabri tiada keistimewaan sedemikian diberi kepada anggota tentera untuk mengundi sehingga diberikan imbuhan sedemikian.

Sebelum itu, Anwar mendakwa berlaku pengundian awal membabitkan anggota tentera di Bera, pada Jumaat, malah ada anggota yang dibayar RM300.

Anwar yang mendakwa mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pengerusi PH di Bilik Gerakan Utama PH Kuala Nerus pada Jumaat.

Related posts

Leave a Comment