Pengundian awal tentera dibayar RM300

KUALA NERUS 11 Nov. – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim mendakwa berlaku pengundian awal membabitkan anggota tentera di Bera, Pahang hari ini malahan mereka dibayar RM300.

Anwar menegaskan mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara berkenaan.

“Saya menerima maklumat sahih contoh undi dari satu tempat yang saya tak boleh umumkan untuk tentera di Bera yang dibayar RM300.

Soalnya mengapa dan bagaimana SPR boleh izinkan kalau mereka tahu undi awal yang sepatutnya 15 November.

“Bagaimana (undi awal) boleh dijalankan hari ini, saya bimbang kerana unsur wang, unsur tekanan (dan) unsur penipuan yang berlaku kerana ada bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Pengerusi PH di Bilik Gerakan Utama PH Kuala Nerus di sini hari ini.

Anwar turut meminta SPR mengemukakan jawapan dan mengambil tindakan tegas sebelum rakyat bangkit kerana ia boleh mencemarkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, undi yang dilakukan itu mesti dibatalkan dan anggota yang terbabit perlu mengundi semula pada 15 November depan.

Beliau mendakwa Ismail Sabri dan Hishammuddin tahu UMNO-BN berada di tahap paling parah sekarang dan mereka bersekongkol dengan PN untuk memastikan ada penipuan dalam proses pilihan raya.

Related posts

Leave a Comment