Ustaz Kazim hormati keputusan Pulau Pinang

SEPANG 5 Nov. –  Penceramah bebas Ustaz Mohd Kazim Elias menghormati keputusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang melarang beliau mengadakan ceramah di negeri itu selepas hampir 30 tahun berbuat demikian.

Beliau yang mula mengajar di Pulau Pinang sejak tahun 1995 berkata, dalam tempoh itu beliau telah menyertai beratus-ratus kuliah maghrib, ceramah, forum perdana dan sebagainya di masjid-masjid di seluruh negeri itu.

“Kalau saya dilarang ceramah mungkin kerana kelemahan saya sendirii, tidak ada tauliah, saya kena hormati undang-undang dan peraturan di sesebuah negeri,” katanya menjawab soalan penonton programnya malam ini.

Semalam, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menamakan 16 individu termasuk pendakwah bebas, Mohd Kazim yang didapati tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.

Menurut Ustaz Kazim, setelah sekian lama memberi ceramah di negeri itu, bermula di sekitar Permatang Pauh, sudah tiba masanya beliau memberi peluang kepada pelapis muda yang mempunyai tauliah.

Melalui program pengajian Kitab Harumah Rohani, Ustaz Kazim turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada masjid-masjid yang selama ini mengundangnya serta mereka yang mengikuti kuliah beliau di negeri itu.

“Saya minta halal makan minum, ada yang belanja saya pasembur, laksa, ada nasi arab, terima kasih, halalkan, ada rezeki datanglah ke sekolah saya di Manjoi, boleh jumpa,” katanya.

Beliau kali terakhir menghadiri jemputan ceramah di sebuah masjid di Perai pada minggu lepas.

Mengikut takwim Majlis Ilmu Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Seberang Perai Utara yang juga mengundang Ustaz Kazim setiap bulan, giliran pendakwah itu adalah pada 14 November ini.

MAINPP melalui  satu pekeliling turut menyenaraikan Ahmad Husam Baderudin, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Yusni Mat Piah, Dr Abdullah Yassin Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi.

Mohd Rizal Azizan dan Halim Hassan, Aiman Subri, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Shaharudin Ibrahim, Wan Hizam Abdullah Sabil, Shahrir Long dan Sobri Arshad.

(Foto Ustaz Kazim bersama Ustaz Ahmad Husam Baderudin dari FB Ahmad Husam)

Related posts

Leave a Comment