Tok Mat tidak leka hadapi pencabar

REMBAU 5 Nov. – Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan berdepan dengan saingan lima penjuru selepas empat lagi calon termasuk tiga gabungan parti utama mengesahkan pencalonan mereka bagi merebut kerusi P131 Parlimen Rembau.

Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berdepan dengan cabaran daripada calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Keempat-empat pesaing beliau ialah Jufitri Joha (PH), Ramli Awaluddin (GTA), Mohd Nazree Mohd Yunus (PN) dan S. Tinagaran (PSM).

Pada PRU14 (2018), bekas penyandang kerusi itu Khairy Jamaluddin yang kini bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh memenangi kerusi Parlimen Rembau dengan majoriti 6,028 undi selepas memperoleh 36,096 undi.

Khairy menewaskan pencabar terdekatnya ketika itu Roseli Abdul Ghani daripada PKR yang memperoleh 31,732 undi.

Sementara itu, Mohamad, menyifatkan semua calon yang bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada PRU15 ini mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing.

Justeru , pihaknya tidak akan bersikap leka dan terlalu yakin untuk mencapai kemenangan.

“Saya sudah menggesa jentera BN Rembau untuk terus melaksanakan gerak kerja sebaik mungkin, tersusun dan teratur serta santuni seramai mungkin pengundi setiap pelusuk kawasan di Parlimen Rembau ini.

“Dalam kempen ini nanti, kita tidak akan mengusik sesiapa kerana PRU ini adalah bertujuan untuk memilih parti yang akan menubuhkan kerajaan kelak.

Pastinya kerajaan yang akan ditubuhkan nanti adalah kerajaan yang mantap dan stabil kerana negara memerlukan kerajaan yang stabil untuk terus membangun,” katanya kepada pemberita selepas berakhir proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau, di sini, hari ini.

Mohamad, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, kerajaan yang tidak stabil tidak akan membawa apa-apa kebaikan, bahkan ia akan menjejaskan pembangunan negara.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, rakyat tidak harus bimbang mengenai siapa yang hendak menguruskan negara.

“Kami (BN) adalah pasukan yang mempunyai kewibawaan dan bakat serta pengalaman untuk menguruskan Malaysia menjadi sebuah negara disegani kawan dan lawan di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap pada PRU15 ini, rakyat bukan sahaja dalam kawasan Parlimen Rembau tetapi di seluruh negara agar dapat berfikir dengan baik, jangan ikut perasaan dan pilihlah parti serta kerajaan yang mempunyai rekod yang baik,” katanya.

Berdasarkan rekod SPR, terdapat seramai 133,461 pemilih berdaftar di Parlimen Rembau membabitkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota, Chembong, Rantau dan Paroi.

Related posts

Leave a Comment