KOTA KINABALU 26 Mei – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah yang baharu, Mustapha Sakmud mengulangi jaminan PKR negeri untuk terus memberi komitmen terhadap usaha mengekalkan kestabilan politik Sabah.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, komitmen itu sebagai jaminan sokongan terhadap kerajaan negeri yang ada sekarang sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan oleh Ketua Menteri.
“Saya terima lantikan yang diamanahkan Presiden sebagai “taklif” (tanggungjawab) dan bukan “tashrif” (keistimewaan),” katanya menerusi kenyataan malam ini selepas diumum mengetuai PKR Sabah menggantikan Datuk Dr Sangkar Rasam.
Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata perubahan ini menzahirkan nilai parti yang sentiasa membudayakan amalan demokrasi yang segar di samping menyantuni dan mengangkat “local wisdom” atau kearifan tempatan.
Beliau berkata, fokus PKR Sabah ketika ini ialah memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam kerangka gagasan Malaysia Madani yang selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Susulan pelantian itu, beliau turut menggesa pucuk pimpinan parti di seluruh Sabah untuk merapatkan saf perjuangan dan berpadu di bawah pimpinan Perdana Menteri bagi mengangkat martabat rakyat dan negara.
Katanya, Konvensyen Khas PKR Sabah dan program-program pemantapan jentera juga akan diadakan dalam masa terdekat serta berkala sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menjelang.
Nnn