Ahli jadi calon lawan gugur keahlian

BAGAN DATUK 6 Nov. – Mana-mana anggota dan pemimpin UMNO yang bertanding atas tiket parti lawan atau Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dipecat keahlian parti serta-merta, kata Presidennya,  Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, mengikut perlembagaan UMNO, parti mempunyai hak untuk memecat mana-mana ahli yang bertanding atas tiket selain parti termasuk yang menjadi pencadang dan penyokong calon yang mewakili pembangkang.

Beliau sudah mengarahkan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan supaya mengeluarkan kenyataan media hari ini bagi memperincikan mengenai fasa tertentu dalam perlembagaan UMNO bagi membolehkan pemecatan itu dilakukan.

“Itu (pemecatan) adalah satu langkah biasa kerana kita mengikut tatacara dan etika yang terdapat dalam perlembagaan UMNO, begitu juga sekiranya pemimpin parti lain yang menganggotai Barisan Nasional (BN), maka perkara itu turut dilakukan,” katanya pada sidang media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat di sini,

Pada penamaan calon PRU15 ini, penyandang kerusi Parlimen Arau, Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Parlimen Maran, Dr Ismail Abd Muttalib, yang kedua-duanya pemimpin UMNO bertindak mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, seorang lagi pemimpin UMNO iaitu penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin turut bertanding mempertahankan kerusi berkenaan dan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi atas tiket Bebas.

Di Tanjong Karang pula, Mohd Rosni Mastol, 59, pesara pegawai Jasa (jabatan hal ehwal khas), bertanding sebagai calon Bebas adalah untuk membantah keputusan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi kerana menggugurkan Noh.

Rosni, yang menjadi ahli UMNO sejak 36 tahun lalu, dan beberapa ahli jawatankuasa UMNO bahagian Tanjong Karang yang lain memutuskan sesuatu perlu dilakukan untuk menunjukkan kepada pucuk pimpinan parti rasa tidak puas hati mereka dengan keputusan itu.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata , keanggotaan ahli UMNO yang menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan pada PRU15 tergugur secara automatik mengikut Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO

Berdasarkan fasal itu, UMNO akan memantau secara berterusan sekiranya terdapat mana-mana ahli terbabit aktiviti menyokong parti lawan sepanjang kempen PRU15 berlangsung, selain berdepan tindakan pemecatan keahlian serta-merta.

Ahmad berkata, UMNO sudah meneliti senarai calon yang mengemukakan pencalonan dan diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyertai PRU15.

“Berdasarkan laporan diterima, terdapat ahli UMNO menjadi calon, pencadang dan penyokong kepada parti lawan. Jadi, keahlian mereka dalam UMNO dengan ini tergugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO,” katanya.

Berdasarkan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO (https://umno-online.my/wp-content/uploads/2022/08/PERLEMBAGAAN_UMNO_2022…), seseorang ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti, atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan pada pilihan raya Dewan Rakyat atau Dewan Undangan negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya.

Related posts

Leave a Comment