Kejutan di Beluran gugat kerajaan Sabah?

BELURAN 5 Nov. – Adakah persefahaman antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) akan tergugat sehingga boleh menjejaskan kedudukan kerajaan Negeri Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?

Ini berikutan tindakan GRS memberi laluan kepada Perikatan Nasional (PN) menurunkan penyandangnya Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Ronald Kiandee mempertahankan kerusi Parlimen Beluran.

Mengikut persefahaman yang diumum semalam, kerusi Beluran yang dimenangi Dr Ronald atas tiket BN pada PRU lalu diserahkan kembali kepada BN.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, GRS yang dianggotai PN memenangi 17 kerusi, Parti Bersatu Sabah (PBS) tujuh dan BN mendapat 14 kerusi manakala

Warisan memperoleh 23 kerusi DUN, DAP (6), PKR (2), UPKO (1) dan Bebas (3).

Penyertaan Ronald mengejutkan sesetengah pihak tetapi ada juga yang sudah menjangka apabila sejak semalam tersebar akan berlaku kejutan bahawa GRS akan ‘melanggar’ BN di Beluran.

Sehingga semalam Ronald yang meninggalkan BN untuk menyertai Bersatu selepas PRU lalu tidak disenaraikan sebagai calon GRS-BN pada kali ini yang mungkin ada kaitan UMNO menuntut semula kerusi berkenaan.

GRS merupakan komponen beberapa buah parti termasuk Bersatu yang bergabung dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri pada PRN yang lalu.

Menurut Ronald, beliau sekali lagi menawarkan diri bagi Parlimen Beluran untuk mengangkat agenda pembangunan supaya berterusan.

“Saya akan bertanding atas tiket PN parti yang dianggotai oleh beberapa buah parti di peringkat nasional dan juga peringkat negeri. Ini merupakan satu platform yang terbaik bagi mengangkat aspirasi Beluran di peringkat nasional,” katanya selepas penamaan calon di Dewan serbaguna majlis daerah Beluran, di sini.

Ditanya lebih lanjut, beliau memaklumkan bahawa masih sebagai anggota GRS di peringkat nasional dan GRS sebahagian daripada PN.

Mengenai apa komen Pengerusi GRS berhubung pencalonannya atas tiket PN, beliau berkata ia harus ditanya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Berikutan tindakan GRS itu, Parlimen Beluran bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru iaitu Benedict Asmat (BN-UMNO), Rowiena Rasid (Warisan), Hausing Samsudin @Sudin (Pejuang), Ronald (PN-Bersatu) dan Felix Joseph Saang (PH-UPKO).

Pada PRU14, Ronald menang dengan majoriti undi 7.115 menewaskan calon Warisan, Harapan Rakyat, Parti Cinta Sabah, PPRS dan calon Bebas.

Parlimen Beluran mempunyai 44,727 pengundi berdaftar.

Related posts

Leave a Comment