Lima penjuru di Gombak, Diva AA tarik diri

GOMBAK 5 Nov. –  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berdepan saingan lima penjuru dalam usaha beliau mempertahankan Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berdepan saingan kuat dari Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari selain Ketua UMNO Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din yang dipertaruhkan Barisan Nasional (BN).

Turut menyertai saingan di kerusi itu, adalah calon Putra dari Gerakan Tanah Air (GTA) yang akan menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Jamaludin Mhd  Tahir serta seorang calon bebas, yang juga Presiden Penaja Parti Bahtera Sejahtera Malaysia, Zulkifli Ahmad.

Keputusan pencalonan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Gombak, Wan Norazlina Abdul Aziz di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di sini, hari ini.

Sementara itu pengacara Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA yang mengesahkan mahu bertanding atas tiket calon Bebas semalam tidak menghantar borang pencalonan untuk mencabar abangnya, Mohamed Azmin .

Diva AA mengumumkan menarik diri dari daripada bertanding ketika tiba di pusat penamaan calon.

Azwan, 56, yang tiba di lokasi dengan menaiki motosikal itu membuat keputusan pada Subuh tadi selepas mendengar bisikan dari arwah ibunya, Mak Tom dan sekali gus menidakkan kenyataannya untuk bertanding di atas tiket calon Bebas Parlimen Gombak sebagai satu gimik.

“Pagi ini selepas subuh saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding selepas mendengar bisikan daripada Allahyarham emak saya, Mak Tom. Ini bukan perkara main-main mahupun gimik,” seperti dilapor BH.

Related posts

Leave a Comment