MARAN 5 Nov. – Penyandang kerusi Parlimen Maran Dr Ismail Abd Muttalib mengesahkan bahawa beliau kini berpihak dan bersama Pas, sehari selepas diumum akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau bagaimanapun masih belum menerima surat pemecatan daripada Barisan Nasional (BN) susulan keputusannya dan tidak akan menghantar surat keluar parti kepada UMNO sebaliknya menyerahkan kepada kepemimpinan membuat keputusan.
“Saya tidak akan hantar surat… kalau kita sudah masuk (bersama parti lain), maksudnya kita sudah keluar (UMNO)… saya tawarkan diri untuk ini (jadi calon PN) dan esok, kita bersama (PN) untuk penamaan calon,” katanya.
Bercakap pada media selepas program Karnival Memperkasa Komuniti Keluarga Malaysia Daerah Maran di Arena Tengku Muda Pahang di sini malam tadi, Ismail berkata, setakat ini beliau hanya memberi fokus untuk mengekalkan kerusi itu walaupun atas tiket PN.
Katanya, keputusan untuk bertanding disebabkan hasrat untuk menyambung khidmat kepada pengundi Maran yang masih memerlukan pelbagai bentuk pembangunan.
“Tiada istilah merajuk dan membuat keputusan bertanding mewakili PN bagi kerusi yang sepatutnya diberikan kepada Pas,” katanya.
Ismail antara Timbalan Menteri dalam Kabinet Ismail Sabri Yaakob yang tidak dicalonkan mewakili BN pada PRU15 walaupun berjaya memenangi kerusi itu dalam pilihan raya lalu.
BN menampilkan Shahaniza Shamsuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran sebagai calon PRU15.
Sementara itu, Fazil Azmi Nadzri wakil Pas yang sebelum ini diumumkan sebagai calon PN bagi kerusi Maran tidak mempunyai masalah untuk memberikan laluan kepada Ismail.
“Saya patuh dengan arahan yang dikeluarkan parti (Pas) dan kami diajar untuk patuh segala yang diarahkan parti.
“Ya memang saya orang yang dipilih pada waktu itu dan saya akur dengan keputusan ini dan akan menyokong calon yang ditetapkan,” katanya.
