Dr Adham sokong pengganti

KOTA TINGGI 5 Nov. – Penyandang kerusi Parlimen Tenggara, Dr Adham Baba menyatakan sokongan beliau terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Beliau berkata, sebagai Ketua UMNO Bahagian Tenggara, sudah pasti sokongan penuh diberikan kepada calon yang dipilih pucuk pimpinan parti iaitu Manndzri Nasib.

“Saya orang parti. Saya berpandangan adalah penting untuk pemimpin berjiwa besar dan menyokong calon muka baharu dalam memastikan kemenangan BN,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Beliau juga akan bersama-sama jentera sepanjang PRU15 dan mendoakan supaya pengundi terus memberi kepercayaan kepada calon BN.

Dr Adham yang menyandang kerusi Tenggara digugurkan daripada senarai calon BN untuk PRU15.

Sebelum ini, BN Parlimen Tenggara menyuarakan kebimbangan jika penyandang kerusi Parlimen itu, Dr Adham tidak dicalonkan pada PRU15 yang dibimbangi akan menggugat kemenangan BN di kawasan itu pada pilihan raya kali ini.

Timbalan Pengarah BN Tenggara, Nasaruddin Ahmad, berkata mereka hanya mahukan Dr Adham sahaja sebagai calon dan kemudian terus diangkat semula sebagai ahli parlimen di kawasan berkenaan.

“Dr Adham adalah calon WALI (boleh menang, kebolehterimaan dan disenangi) kami dan beliau sudah buktikan selama jadi Ahli Parlimen di sini, kemudian dipilih sebagai menteri dan telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Kami sebulat suara dan menyokong sepenuhnya untuk bawa satu nama sahaja iaitu Dr Adham sebagai calon Ahli Parlimen Tenggara.

“Saya juga amat risau sekiranya beliau tidak tercalon, ia akan menggugat kemenangan BN di Parlimen Tenggara, kerana di Tenggara rata-rata sudah kenal beliau sebagai wakil rakyat yang prihatin dengan semua bangsa dan memberi bantuan tanpa membezakan warna kulit,” katanya.

Related posts

Leave a Comment