KUALA NERANG 4 Nov. – Lembaga Tatatertib UMNO akan mengambil tindakan terhadap dua pemimpinnya yang memilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden UMNO, Mahdzir Khalid, berkata ini berikutan tindakan yang dilakukan penyandang Parlimen Arau, Shahidan Kasim dan penyandang Parlimen Maran, Ismail Abdul Muttalib jelas melanggar perlembagaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Kepada rakan-rakan kita sudah tentulah ada peraturan yang disediakan oleh parti, semua orang tahu peraturan-peraturan yang terkandung ataupun peraturan yang menjadi perlembagaan kepada BN.
“Kita sekarang ini sedang menghadapi pilihan raya tapi semua orang sudah tahu bahawa kedudukan tiap-tiap daripada kita ini sebab kita adalah ahli parti dalam komponen BN (memang jelas melanggari) ya lah (dikenakan tatatertib),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir pada Program Persembahan Wayang Kulit oleh Masyarakat Siam di Padang Terap, malam tadi.
Pada PRU14 lalu, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menang di Parlimen Arau dengan majoriti 4,856 selepas mengalahkan Dr Abd Rahman Daud (PKR) dan Hashim Jasin (Pas).
Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menang di Parlimen Maran dengan majoriti 3,763 menewaskan Hasenan Haron (Pas) dan Ahmad Farid Ahmad Nordin (PKR).
Bagaimanapun, pada PRU15, nama mereka digugurkan dan digantikan oleh Rozabil Abd Rahman sebagai calon di Parlimen Arau, manakala Shahaniza Shamsudin pula di Parlimen Maran.
Shahidan sebelum ini sudah sudah menjangkakan kemungkinan tindakan disiplin itu.
“Apa pun saya tak akan keluar parti tetapi akan meneruskan bertanding atas dasar tiket ‘calon boleh menang’ seperti yang dikehendaki parti,” katanya .
