‘Mungkin ini usaha terakhir saya – Ku Li

GUA MUSANG 4 Nov. – Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan keputusan parti mencalonkannya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 membuktikan rakyat di daerah ini masih memerlukan kepimpinannya.

Katanya, mengambil kira pertimbangan itu, beliau menerima amanah bertanding dengan misi untuk terus menerajui dan berkhidmat di Parlimen Gua Musang.

Beliau tidak menganggap memegang rekod berkhidmat sebagai Ahli Parlimen paling lama mencecah 12 penggal sebagai suatu kemegahan tetapi membayangkan rakyat di sini masih memerlukannya.

“Ya, saya yang lama dalam rekod tetapi ia bukanlah kemegahan. Saya dikehendaki bertanding semula, terutama Orang Asli yang berkali-kali datang meminta saya jangan tarik diri jika ditawarkan menjadi calon.

Saya sudah lama sangat dan patut memberi jalan kepada orang lain. Barangkali ini adalah usaha terakhir saya,” katanya  selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring Piala Ku Li, di sini, hari ini.

Beliau tidak menafikan ada pelapis dalam kalangan pemimpin di daerah ini, dan menasihatkan mereka yang akan datang supaya sentiasa mengutamakan kestabilan dan kebajikan rakyat.

“Mesti ada (pemimpin pelapis). Kita tidak mahu apabila saya berundur, keadaan menjadi kucar-kacir. Kita mahu meneruskan kestabilan. Saya hendak mengingatkan orang di Gua Musang, mereka perlu mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment