Noh kekal setia bersama BN

TANJONG KARANG 4 Nov. – “Saya tidak akan meninggalkan Barisan Nasional (BN). Inilah prinsip yang dipegang untuk terus kekal setia’.

Itu penegasan Pengerusi BN Selangor, Noh Omar selepas disahkan namanya tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Tanjong Karang yang disandang selama enam penggal sejak 1995 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau menegaskan tidak akan berganjak daripada terus kekal setia berjuang menyokong BN yang selama ini banyak berjasa kepada negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera BN P095 Parlimen Tanjong Karang di Padang Astaka, di sini, hari ini.

“Besar harapan saya untuk melihat calon BN memperoleh kemenangan khususnya di Selangor.

“Insya-Allah, kita cuba yang terbaik dan berusaha memastikan jentera BN sedia dan terus kekal menyokong calon ditampilkan parti,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan mengiringi calon BN Parlimen Tanjong Karang, Noh menegaskan beliau akan hadir untuk memberikan sokongan kepada calon itu.

“Walaupun tidak mendapat pas kebenaran masuk ke pusat penamaan calon, saya bertekad untuk bersama jentera memberikan sokongan moral kepada calon.

“Kalau tak dapat masuk dalam dewan pun tak apa, tetapi saya tetap datang beri sokongan. Kalau terpaksa duduk bawah pokok pun lagi senang,” katanya.

Pada PRU14, Noh mengalahkan calon Bersatu, Dr Zulkafperi Hanafi dan Nor Az Azlan Ahmad mewakili Pas dengan majoriti tipis 1,970.

Pada PRU15 kali ini calon BN Habibah Mohd Yusof bakal menentang calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Siti Rahayu Baharin,  Dr Zulkafperi Hanafi (Bersatu ) dan Azlan Sani Zawawi (Pejuang-GTA).

Related posts

Leave a Comment