Kes harian Covid-19 melepasi 4,000

PUTRAJAYA 4 Nov. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini melonjak kepada 4,711 kes setakat malam tadi, berbanding 3,969 yang dilaporkan sehari sebelumnya menjadikan keseluruhan 4,914,557 kes.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) di laman sesawang KKMNOW, daripada jumlah itu, 4,704 kes adalah penularan tempatan manakala tujuh lagi kes import.

Tiada kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam, menjadikan kes kematian akibat pandemik berkenaan kekal sebanyak 36,480 dengan 7,763 kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Setakat tengah malam tadi juga, sebanyak 1,591 kes aktif dilaporkan menjadikan keseluruhan kes aktif 34,609 dengan 32,956 atau 95.2 peratus menjalani isolasi di rumah dan 67 berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ini termasuk 47 pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiada kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) manakala penggunaan katil ICU juga berada pada paras 62.4 peratus.

Sementara itu, seramai 169 individu mendapatkan suntikan dos utama vaksin Covid-19 semalam, dan 382 mendapatkan dos penggalak pertama dan 1,160 individu lain pula mendapatkan dos penggalak kedua.

Sementara itu, Selangor mendahului dengan 1,609 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1,168, Perak 391, Negeri Sembilan 299, Pulau Pinang 232, Sabah 215, Melaka 149, Kedah 135, Kelantan 128 dan Wilayah Persekutuan Putrajaya 111.

Negeri terendah pula adalah Perlis dengan catatan lima kes, Wilayah Persekutuan Labuan 14, Terengganu 41, Johor 60, Sarawak 75 dan Pahang 79.

Related posts

Leave a Comment