PRU15 : Nik Abduh minta tidak dicalonkan

KOTA BHARU 3 Nov. – Penyandang kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz secara sukarela menarik diri dari dicalonkan, kata Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru tidak timbul isu Pas mahu mematikan legasi bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila tiada lagi pewaris ‘Tok Guru’ itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

“Dia (Nik Abduh) telah menarik diri untuk bertanding dan memberi laluan kepada calon muda. Dia akan bersama- sama turun berkempen bersama kita. Ia tidak timbul isu itu (dibuang dari parti),” katanya pada Majlis Pengumuman Senarai Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen di Negeri Kelantan bagi PRU15 malam tadi.

Calon menggantikanya adalah rakan rapatnya, orang tempatan dan Setiausaha Politik kepada Presiden parti (Pas).

“Kita perlukan pemuda dan wanita macam di Tumpat kita letakkan kak Tah (Mumtaz) untuk dokong dasar parti, kita buktikan,” katanya.

Mumtaz, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit menggantikan Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang digugurkan daripada senarai pencalonan.

Katanya, ketiadaan seorang pun anak bekas Mursyidul Am Pas itu, yang bertanding kali ini atas tiket Pas, Tuan Ibrahim menjelaskan ia tiada kaitan dengan pengakhiran legasi Nik Abdul Aziz.

Menurut Tuan Ibrahim, bagi Pas, setiap calon bertanding membawa dasar Islam dan perjuangan membangun bersama Islam seperti yang ditinggalkan Nik Abdul Aziz.

“Tak timbul soal itu (mematikan legasi tok guru) saya sendiri anak saudara tok guru (Nik Abdul Aziz), Zawawi (calon Pasir Puteh) pun anak saudara tok guru, legasi perjuangan bukan individu tetapi dasar perjuangan.

“Siapa bawa dasar perjuangan dia bawa legasi tok guru, bukan tokoh atau individu,” katanya.

Pada PRU kali ini, Pas di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) bertanding sembilan kerusi manakala Bersatu meletakkan lima calon.

Berikut adalah senarai calon PN di kesemua 14 Parlimen di Kelantan:

P019 TUMPAT : Datuk Mumtaz Md Nawi (Pas)

P020 PENGKALAN CHEPA : Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Pas)

P021 KOTA BHARU : Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas)

P022 PASIR MAS : Ahmad Fadhli Shaari (Pas)

P023 RANTAU PANJANG : Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas)

P024 KUBANG KERIAN : Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas)

P025 BACHOK : Mohd Syahir Che Sulaiman (Pas)

P026 KETEREH : Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor (Bersatu)

P027 TANAH MERAH : Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Bersatu)

P028 PASIR PUTEH : Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas)

P029 MACHANG : Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (Bersatu)

P030 JELI : Zahari Kechik (Bersatu)

P031 KUALA KRAI : Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas)

P032 Gua Musang : Mohd Azizi Abu Naim (Bersatu)

Related posts

Leave a Comment