PSM tanding di Rembau, DUN Ayer Kuning

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Selepas permintaan untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput pada PRU15 ditolak oleh Pakatan Harapan (PH), Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan bertanding secara solo.

Dua aktivis dipertaruhkan iaitu S.Tinagaran, 45, atau lebih dikenali Cikgu Tina yang akan bertanding di Parlimen Rembau manakala peguam yang juga Timbalan Setiausaha Agung PSM, K.S. Bawani, 36, di DUN Ayer Kuning.

Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj, berkata dua kawasan itu belum pernah ditandingi PSM tetapi aktif membantu rakyat di kawasan itu dengan menyelesaikan pelbagai masalah termasuk pekerja ladang, petani, penternak dan pekerja kontrak kerajaan.

Beliau berkata PSM tidak akan bertanding di kawasan disandang Pakatan Harapan (PH) bagi memberi peluang kepada PH mendapat kemenangan selain menangkis sebarang tafsiran bahawa PSM berniat membalas dendam ekoran kegagalan kerjasama pilihan raya dengan PH.

Jeyakumar berkata beliau juga tidak bertanding di Parlimen Sungai Siput, Perak buat pertama kali sejak 1999 kerana tidak mahu memberi gambaran bahawa PSM mensabotaj calon PH serta dipersalahkan jika PH tidak mendapat undi yang banyak.

Related posts

Leave a Comment