Empat sebab surat akujanji itu palsu

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Terdapat empat sebab yang membuktikan surat aku janji didakwa mengandungi ikrar calon untuk menyokong Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri, adalah palsu.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, berkata, pertama dokumen aku janji yang tular itu menggunakan kepala surat UMNO dan bukan Barisan Nasional (BN).

“Inikan pilihan raya umum (PRU), kenapa bukan kepala surat BN. Sebab kedua, jika dilihat cara surat itu ditulis, penjarakan huruf besar dan kecil tidak konsisten dengan surat yang sahih.

Sebagai contoh, dalam surat yang pernah dikeluarkan sebelum ini, tulisan Barisan Nasional itu bukan semuanya huruf besar,” katanya dalam rakaman video dikongsikan beliau melalui Facebook.

Terdahulu, tular dokumen yang menggunakan kepala surat UMNO serta memaparkan tandatangan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN, bersama Setiausaha Agung parti, Ahmad Maslan, selepas pengumuman rasmi calon BN pada Selasa lalu.

Aku janji berkenaan antara lain didakwa mengandungi ikrar calon UMNO dan BN yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti untuk mencalonkan serta menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Ia turut didakwa menyatakan ikrar untuk menyokong sebarang tindakan Presiden UMNO dalam membuat sebarang perancangan dengan parti atau pakatan politik lain, jika UMNO dan BN gagal membentuk kerajaan secara sendiri selepas PRU15.

Shahril Sufian yang juga calon dinamakan BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Alor Gajah berkata, sebab ketiga yang menunjukkan surat itu palsu ialah ia tidak akan ditulis aku janji untuk menggugurkan kes pemimpin UMNO.

“Sebab keempat, saya sendiri adalah bakal calon. Memang ada tandatangan dokumen (aku janji) tetapi ia mengenai jangan lompat parti, kesetiaan kepada parti, memastikan kita menjadi calon bertanggungjawab.

“Ini semua kerja orang terdesak. Sepatutnya berkempen jumpa rakyat tetapi dia fikir macam mana nak hasut rakyat, macam mana nak buat cerita ‘fake’ (palsu) supaya orang tak sokong BN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment