Digugur Pas bertanding tiket BN

KOTA BHARU: Beberapa jam selepas digugurkan sebagai calon Pas untuk mempertahankan Parlimen Tumpat, Barisan Nasional (BN) ‘melamar’ Datuk Che Abdullah Mat Nawi untuk mempertahan kerusi itu.

BN memberi laluan kepada Che Abdullah untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi menghadapi calon Perikatan Nasional (PN) yang menurunkan wakil Pas dan Gerakan Tanah Air melalui calonnya dari Putra.

Media melaporkan Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, seluruh akar umbi parti di kawasan itu terutama UMNO Bahagian Tumpat secara terbuka menerima baik kehadiran Che Abdullah.

Menurutnya, keputusan memberi laluan itu dibuat kerana BN negeri beranggapan Che Abdullah sebagai calon boleh menang.

“BN akui ada menawarkan kerusi berkenaan kepada Che Abdullah dan kita memang mengadakan pertemuan dengan beliau.

“Kita rasa satu kelegaan apabila Che Abdullah bersetuju dengan tawaran yang diberikan,” katanya di sini hari ini.

Semalam melaporkan, Pas menggugurkan Che Abdullah dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada PRU15.

Pas menamakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi sebagai pengganti kepada Che Abdullah, sementara Nik Mohamad Abduh digantikan Mohd. Syahir Che Sulaiman.

Pada PRU14, Che Abdullah menewaskan calon BN dan PKR dengan majoriti 17,500 undi.

Che Abdullah mendapat undi sebanyak 47,041 manakala Datuk Wan Johani Wan Hussin (BN) memperoleh 29,541 undi dan Datuk Nordin Salleh (PKR) hitang deposit selepas meraih 10,003 undi.

Related posts

Leave a Comment