Ramanan kekal lawan KJ di Sungai Buloh

SHAH ALAM 3 Nov. –  Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan kekal menentang calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari, berkata setakat ini, pihaknya mengekalkan barisan calon Parlimen pakatan itu seperti diumumkan sebelum ini.

“Itu keputusan akhir yang dibuat di antara beliau (Rafizi Ramli) dan Presiden PKR (Anwar Ibrahim).

Setakat ini, kita meneruskan pengumuman yang dibuat dan kita yakin perbincangan yang panjang sudah diadakan sebelum ini.

Tetapi masing-masing perlu akur dengan beberapa keputusan yang sudah dibuat,” katanya ketika diminta mengulas ciapan calon Parlimen Pandan itu berhubung status calon kerusi Sungai Buloh.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-calon Parlimen Pakatan Harapan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini, hari ini.

Rafizi dalam ciapannya menyatakan akan berbincang dengan Anwar mengenai maklum balas pengundi Sungai Buloh mengenai calon PKR setakat ini.

“Saya hargai semua pandangan. Keputusan akhir adalah keputusan beliau sebagai Presiden parti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment