Di mana watikah Tanjung Karang?

SHAH ALAM 3 Nov. – “Saya tunggu dari pagi sampai malam. Saya WhatsApp Presiden tetapi tidak ada respons,” Itu luahan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Noh Omar dengan sikap berdiam diri Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya fikir presiden sibuk dan saya tunggu sampai malam ini. Hanya tadi keluar senarai BN, Tanjung Karang sudah ada calon. Maka, watikah tidak sampai pada saya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Calon BN peringkat Negeri Selangor di sini malam ini.

Beliau mengakui pucuk pimpinan UMNO itu telah meletakkan calon baharu di kawasan itu, namun sekurang-kurangnya Noh mahu Ahmad Zahid memberi respons kepada persoalan mengenai kerusi parlimen berkenaan.

Noh juga kecewa dengan Ahmad Zahid kerana tidak bersikap terbuka dalam menyentuh mengenai isu pencalonannya di Tanjung Karang.

“Sedih dan kecewa saya menunggu macam buah tak jatuh. Saya WhatsApp tapi tiada jawapan, padahal dia baca. Saya tidak mendapat perhatian daripadanya. Saya bersikap terbuka,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, hanya  21 daripada 22 watikah diserahkan kepada calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) malam ini manakala, watikah calon Tanjung Karang, Habibah Mohd Yusof tidak ada dalam senarai berkenaan.

“Watikah Tanjung Karang belum dapat lagi. Namun, sudah ada (dalam senarai) calonnya ialah Datuk Habibah. Saya tidak tahu mana watikah itu,” katanya.

Noh akan mendedahkan mengenai sebab beliau tidak diumumkan sebagai calon BN di Tanjung Karang pada pukul 4 petang Jumaat di Tanjung Karang.

Related posts

Leave a Comment