Raja Salman kecam cubaan serang Makkah

RIYADH – Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, menyifatkan cubaan menyasarkan serangan ke atas Makkah sebagai satu jenayah berat serta tindakan yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Justeru baginda mengecam tindakan kumpulan Houthi di Yaman yang disifatkan sebagai “militia pengganas”  yang didakwa berulang kali menyasarkan kota suci itu.

.Kenyataan itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet Arab Saudi, yang dianggap campur tangan luar biasa dalam isu semasa memandangkan kebanyakan urusan pentadbiran harian kerajaan kini dikendalikan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Minggu lalu, Arab Saudi mendakwa berjaya memintas sebuah dron yang dilancarkan Houthi ke arah Makkah tetapi dinafikan sekeras-kerasnya oleh kumpulan berkenaan.

Pemimpin Houthi, Abdul-Malik al-Houthi, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu pembohongan besar.

Insiden itu mencetuskan amaran keselamatan pertama di Makkah dalam tempoh hampir sedekad.

Dalam pada itu, Raja Salman turut memuji pasukan tentera dan keselamatan negara kerana berjaya mempertahankan kedaulatan negara serta melindungi tempat-tempat suci, jemaah haji dan umrah, selain rakyat dan penduduk Arab Saudi.

Dalam perkembangan berkaitan, baginda turut menyentuh pertemuan antara Putera Mahkota Mohammed dan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi di Kaherah minggu lalu, selain perbincangannya dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai usaha meningkatkan kestabilan serantau dan menjamin keselamatan laluan perkapalan.

Related posts

Leave a Comment