Penyelesaian dua negara pilihan terbaik

NEW YORK – Penyelesaian dua negara kekal merupakan satu-satunya jalan yang mampu menjamin keamanan dan keselamatan berkekalan bagi rakyat Palestin dan Israel, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Menerusi hantaran di platform X, Guterres yang mengulangi kenyataan seumpama itu berkata penyelesaian itu merupakan pendekatan paling berwibawa untuk menamatkan konflik yang berlarutan di wilayah berkenaan.

Katanya, matlamat yang perlu dicapai adalah pembentukan dua negara yang merdeka, berdaulat dan demokratik, iaitu Israel dan Palestin, yang hidup bersebelahan secara aman dan selamat.

Beliau menegaskan bahawa tiada pilihan lain yang mampu menggantikan penyelesaian berasaskan dua negara itu.

Guterres sebelum ini berulang kali menggesa semua pihak kembali kepada proses politik yang boleh membawa kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, hidup berdampingan dengan Israel berdasarkan prinsip yang dipersetujui masyarakat antarabangsa.

Isu penyelesaian dua negara kembali menjadi tumpuan dalam sidang Perhimpunan Agung PBB tahun ini apabila beberapa pemimpin dunia menekankan keperluan mencari penyelesaian jangka panjang bagi konflik yang telah berlarutan selama beberapa dekad.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran politik dan keselamatan, PBB terus berpendirian bahawa penyelesaian dua negara adalah asas terbaik untuk mencapai keamanan yang berkekalan di Asia Barat.

Related posts

Leave a Comment