PRU15: Tiga lokasi panas di Pulau Pinang

TANJONG 31 Okt. – Tiga kawasan Parlimen iaitu Batu Kawan dan Permatang Pauh di Seberang Perai serta Balik Pulau di daerah Barat Daya, dikenal pasti sebagai ‘lokasi panas’ di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata ia berdasarkan beberapa insiden pada PRU14.

“Ada tiga ‘hotspot’ (lokasi panas), iaitu di Permatang Pauh, Batu Kawan serta Balik Pulau, dan lokasi terbabit dikenal pasti berdasarkan insiden yang lalu.

Namun buat masa ini, kita belum menjangka atau mendapat risikan akan berlaku apa-apa (insiden).

“Kita akan meletak keutamaan pada lokasi berkenaan sekiranya mendapat maklumat. Setakat ini, kita belum menerima apa-apa (maklumat), namun tidak mahu mengulangi kesilapan sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini..

Pada pilihan raya lalu, beliau berkata, berlaku kejadian seperti kenderaan polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditahan.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya dengan kerjasama Bukit Aman akan melakukan pemantauan, termasuk sebarang hantaran berunsur provokasi atau penyebaran maklumat palsu dalam laman sesawang atau media sosial, sepanjang tempoh berkempen hingga hari mengundi pada PRU15.

“Tindakan awal itu penting bagi memastikan tiada sesiapa terpengaruh sehingga memburukkan keadaan.

“Perkembangan pesat teknologi komunikasi kini akan menjadi platform utama untuk berkempen, justeru semua calon diminta menggunakannya dengan baik dan berhemah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 4,514 atau 73.51 peratus daripada keseluruhan pegawai dan anggota polis Kontinjen Pulau Pinang, akan bertugas sepanjang tempoh PRU15.

Related posts

Leave a Comment