Runding semula kerusi Tanjung Piai

JOHOR BAHRU 31 Okt. – Selepas Jerai di Kedah, isu hampir sama dilaporkan berlaku di Johor apabila Amanah ‘terluka’ dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada MUDA.

Berikutan itu, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Johor, Mazlan Aliman menggesa keputusan berkenaan dirunding semula dan kerusi berkenaan diberikan kepada calon parti itu seperti diputuskan sebelum ini.

Beliau mendakwa kepemimpinan Amanah dilihat lemah dalam menangani rundingan kerusi yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati ahli dan penyokong parti di peringkat akar umbi.

Katanya, keputusan Majlis Presiden PH menyerahkan kerusi  Tanjung Piai kepada MUDA, mengulangi detik hitam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu yang juga diberi kepada MUDA.

Walaupun penegasan mengenai kepentingan kerusi itu kepada Amanah diberikan kepada pimpinan khususnya kepada Presiden, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden, Salahuddin Ayub, namun ia gagal dipertahankan.

“Kerusi pinjaman di Parlimen Ayer Hitam pun gagal diambil semula dan nampaknya, ia akan menjadi milik DAP buat selama lamanya.

“Sementara hari penamaan calon 5 November ini masih berbaki beberapa hari lagi, keputusan di Parlimen Tanjung Piai, mesti dirunding semula. Kembalikan kerusi itu kepada Amanah seperti mana yang diputuskan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz mengumumkan pengasas bersama MUDA serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Lim Wei Jiet sebagai calon MUDA yang diturunkan PH di Parlimen Tanjung Piai.

Wei Jiet yang juga seorang peguam turut dilaporkan sudah memulakan gerak kerja di Tanjung Piai bersama pasukan MUDA, dengan beberapa program ramah mesra bersama penduduk sudah bermula sejak Khamis lalu.

Related posts

Leave a Comment