Agong tolak gaji sejak Covid-19

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, terlebih dahulu tidak mengambil gaji iaitu sejak Covid-19 melanda negara.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata ini kerana Seri Paduka cakna dengan keadaan ekonomi yang menekan kehidupan rakyat.

“Saya nak maklumkan bahawa Tuanku Agong telah menolak gaji sejak Covid-19, lebih awal daripada saya. Baginda tidak menerima sebarang gaji oleh kerajaan sejak Covid-19.

“Saya ingat, eloklah kita beri penjelasan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Untuk rekod Kabinet Muhyiddin Yassin juga mengambil pendekatan sama, dengan pemotongan dua bulan gaji perdana menteri, menteri dan timbalan menteri untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19.

Langkah itu diambil pada Mac 2020 iaitu kira-kira seminggu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP1.0).

Pada 2021, Kabinet Perdana Menteri kelapan itu juga bekerja tanpa gaji selama tiga bulan mulai Jun 2021.

Anwar sebelum ini menetapkan pendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan perdana menteri sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat terutama terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November lalu.

Jemaah Menteri turut bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan atas semangat keprihatinan terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini.

Related posts

Leave a Comment